Disediakan oleh Maizura Ederis untuk Bengkel Penulisan Skrip Asas - Creativity Never Stop FINAS.

Bawaku Terbang

Struktur Skrip

Ini lah bahagian yang paling penting. Skrip yang ditulis tanpa struktur akan kelihatan seperti cerita yang tiada ‘kaki’ untuk berpijak di tanah. Ia melayang-layang tanpa arah. Ini turut berlaku kepada penulis skrip yang sudah lama di dalam industri. Ada penulis yang tahu tentang struktur. Hanya menulis “ikut hati”. Ironi, mereka masih boleh ‘mencari makan’ dalam industri tempatan. Malahan, ada karya mereka yang mendapat sambutan – hanya kerana penonton mahu melihat ‘muka’ pelakon kesayangan. Banyak kes seperti ini di televisyen kita, lebih-lebih lagi di zaman media sosial sekarang, di mana rupa sering menjadi taruhan.

Keadaan berbeza di Hollywood yang menganggap skrip adalah struktur. Struktur yang paling asas, Struktur Tiga Babak (Three-Act Structure) telah mendominasi dunia ‘penglipur lara’ Hollywood dan Broadway sejak lebih seratus tahun yang lalu. Ia bertitik tolak daripada kerangka kerja ahli falsafah Yunani, Aristotle. Katanya dalam buku Poetics, semua cerita perlu ada permulaan, pertengahan dan penghujung. Konsep ini kemudiannya dikembangkan di zaman moden untuk filem oleh Syd Field.

Babak pertama (ACT 1) : memperkenalkan watak utama (protagonis), latar (set-up) dan rentak penceritaan (tone). Protagonis dalam keadaan biasa dan ada matlamat. Namun, sesuatu insiden telah berlaku yang menjerumuskan protagonis ke dalam masalah atau menghalang matlamatnya. (konflik).

Babak kedua (ACT 2) : pelbagai cabaran untuk protagonis. Semuanya dihadapi dengan jaya walaupun payah. Tiba di titik tengah (midpont), protagonis mengetahui sesuatu. Namun, muncul cabaran lain yang lebih sengit. Dia mengalami situasi kalah menang, jatuh bangun dan turun naik yang sukar diramal.

Babak ketiga (ACT 3) : protagonis mendapat kekuatan, kesedaran dan pengetahuan hasil pengalaman yang dilalui di babak kedua. Dia bersedia menghadapi cabaran yang sengit itu dan kemudiannya, berjaya (klimaks). Protagonis berubah menjadi lebih baik, mencapai matlamatnya dan kembali ke keadaan biasa. (aftermath).

Selain cerita pokok (main plot), terdapat juga cerita ranting (sub plot) di sepanjang penceritaan. Biasanya, terdapat satu atau dua sub plot untuk telemovie atau filem. Bagi dramabersiri, bilangan sub plot adalah bergantung kepada bilangan episod. Lebih banyak episod, lebih banyak sub plot. Ia perlu menyokong dan membantu menggerakkan main plot. Sampai ke satu titik, sub plot bertembung dengan main plot bagi memberikan lebih impak. Kebiasaannya, sub plot bermula di awal babak kedua dan berakhir sebelum klimaks di babak ketiga.

Sekiranya menulis telemovie, Act 1 berada di sekitar mukasurat satu hingga 20. Act 2 di antara mukasurat 21 hingga 60. Act 3 di antara 61 hingga 80. Bagi industri tempatan, telemovie berdurasi 90 minit memerlukan skrip sekitar 80 mukasurat atau kurang daripada itu. Jumlah mukasurat untuk Act 2 adalah dua kali ganda Act 1 dan Act 3. Ini kerana Act 2 merupakan konflik. Tanpa konflik, tiada lah drama.

Bagi filem pula, Act 1 di sekitar mukasurat satu hingga 25. Act 2 bermula pada mukasurat 26 hingga 85. Act 3 pada mukasurat 27 hingga 110. Durasi filem sekitar 110 hingga 120 minit.

PANDUAN MENULIS DIALOG

  • Enter late, exit early. Jangan tunjukkan perbualan awal atau sembang kosong yang tiada kena mengena dengan isu utama dalam penceritaan. Buang dialog bagi salam, tanya khabar, jemput masuk dan sebagainya. Terus kepada dialog yang berkaitan dengan persoalan pokok dalam setiap babak. Elakkan dialog yang tidak berkaitan. Disebut juga sebagai “dialog membazir” oleh pengamal industri kita.

  • Jangan gunakan kata bual yang terlalu “direct”. Ini tidak realistik. Dalam percakapan di dunia sebenar, kebanyakannya dilontarkan secara berlapik atau berkias.

  • Jangan biarkan watak bercakap terlalu panjang tanpa dipotong oleh watak-watak lain. Ini tidak menggambarkan realiti perbualan yang sebenar. Dalam kehidupan sebenar, percakapan kita kerap disampuk atau ditokok tambah oleh orang lain.

  • Manner of speaking. Tutur kata watak mesti mengikut kesesuaian perwatakannya. Seorang yang bersifat tegas, berbeza percakapannya dengan seorang yang lembut. Begitu juga seorang yang berani, berbeza percakapan berbanding seorang yang penakut. Kanak-kanak dan orang dewasa juga berbeza cara percakapannya.

  • Konsisten. Setiap watak mesti konsisten dalam percakapan dan penggunaan ayatnya. Jangan berubah di sepanjang penceritaan. Ini berlaku dalam penulisan kolaborasi. Dalam kes ini, ketua mesti bertanggungjawab dalam menyelaras semula dialog.

  • Pastikan watak tidak bercakap dengan cara kita (penulis) bercakap. Kerap kali kita terbawa-bawa dengan cara percakapan diri sendiri di dalam menulis dialog.

  • Baca dengan kuat setiap kali menulis dialog supaya kita dapat mendengar dan menyemak samada ia betul atau tidak.

  • Perbanyakkan membuat kajian tentang watak bagi membolehkan kita mendapat banyak idea untuk menulis dialognya. Contoh : Watak ayah dalam filem Bisik Pada Langit dibangunkan berdasarkan pemerhatian kepada ayah-ayah tipikal dari kampung yang membesarkan anak pada tahun 1990-an ke bawah, pembacaan di blog peribadi ayahayah yang tidak dikenali dan artikel tentang fitrah/naluri seorang ayah.

PERINGATAN MESRA : BELAJAR LAH TULIS DIALOG POWER!

PANDUAN MENULIS KETERANGAN AKSI

  • Gunakan perkataan yang minima untuk menggambarkan watak, latar, aksi dan insiden. Jangan berlebihan. Cukup sekadar boleh difahami dan boleh dibayangkan dalam kepala pembaca.

  • Gunakan ayat-ayat yang boleh menggambarkan VISUAL. Cari perkataan yang sesuai untuk membayangkan apa sahaja yang kita mahu tunjukkan di skrin nanti. Mesti menampakkan aksi dan dramatik. Penulis mesti bijak dalam pemilihan perkataan.

  • Tulis hanya perkara yang kita mahu LIHAT dan DENGAR sahaja. Jangan masukkan perkara lain yang tidak akan kelihatan atau kedengaran dalam produk akhir nanti.

  • Sampaikan perasaan watak, emosi, subteks, mesej dan apa sahaja yang kita ingin ceritakan melalui aksi. Watak kena dilihat melakukan sesuatu/memberi reaksi wajah bagi menggambarkan emosi dalamannya yang tanpa dialog. Kena “tunjukkan” dengan jelas dan mesti bersifat “external”. Elakkan penulisan novel iaitu “memberitahu” atau bersifat “internal”. SHOW, DON’T TELL.

  • Setiap latar dan aksi yang ditulis mesti menolak ke babak berikutnya. Mesti bersifat dinamik, bergerak dan berkembang (progres).

  • Jangan guna “camera direction” untuk menerangkan aksi. Ini akan mengganggu kerja pengarah dan menyebabkan mereka tidak selesa/rasa penulis hendak mengajar mereka. Gunakan “kelihatan” atau “kita nampak” untuk perkataan “establish” atau “focus”. Contoh lain, “kita mendekati….” untuk perkataan “close up”.

  • Enter late, Exit early. Mulakan babak pada situasi yang paling kritikal dan suspen. Tamatkan babak sebaik selesai situasi kritikal atau suspen. Jangan mulakan babak dengan situasi yang mendatar, biasa-biasa sahaja dan tidak ada kaitan dengan penceritaan. Begitu juga ketika menamatkan babak - jangan tunggu situasi kritikal dan suspen itu berakhir.

PERINGATAN MESRA : TULIS LAH KETERANGAN AKSI YANG HEBAT TAPI MUDAH DIBACA DAN DIFAHAMI

FORMAT SKRIP MENGGUNAKAN MICROSOFT WORDS :

Rukun skrip ada enam perkara :

  • Slugline / Scene Header - luar, dalam, tempat dan waktu untuk sesuatu babak.
  • Action / Description - gambaran watak, latar, insiden dan aksi dalam babak.
  • Character - menunjukkan watak yang mana akan berdialog.
  • Parenthetical - ditulis dalam kurungan (bracket) untuk terangkan bagaimana pelakon akan menyampaikan dialog. Mesti ditulis di bawah nama watak.
  • Dialog - ayat yang akan dituturkan oleh watak yang terlibat.
  • Transition - untuk menandakan pertukaran babak. Boleh ditandakan dengan CUT TO atau lain-lain arahan. Ada yang berpendapat cukup sekadar dengan slugline atau scene header sebagai penanda kepada pertukaran babak.

Format skrip supaya boleh dicetak di atas kertas A4 menggunakan margin berikut :

  • Margin atas - 1.35 inci
  • Margin bawah - 1.35 inci
  • Margin kiri - 1.5 inci
  • Margin kanan - 0.3 inci

Format semua elemen skrip dengan jarak yang mengikut piawaian (standard) :

  • Slugline / Scene Header Kiri ( 0 inci ) Kanan ( 0 inci )
  • Action / Description Kiri ( 0 inci ) Kanan ( 0.31 inci )
  • Character Kiri ( 2.06 inci ) Kanan ( 0.5 inci )
  • Parenthetical Kiri ( 1.41 inci ) Kanan ( 2.13 inci )
  • Dialog Kiri (1.03 inci ) Kanan ( 1.88 inci )
  • Transition Kiri ( 0 inci ) Kanan ( 0.62 inci )

Gunakan font Courier saiz 12. Boleh juga guna Courier New atau lain-lain jenis Courier.